Y.Bhg. Tan
Sri/Puan Sri/Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan,
PENARIKAN BALIK PERMOHONAN PERSARAAN PILIHAN PEGAWAI
KUMPULAN SOKONGAN YANG TELAH BERKHIDMAT 15 TAHUN DAN TERLIBAT DENGAN
URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA KHAS UNTUK PENYANDANG (KUP)
Dengan segala hormatnya saya
menarik perhatian tuan berhubung perkara yang tersebut di atas.
2. Seperti yang tuan
sedia maklum, Kerajaan telah bersetuju supaya Pegawai Kumpulan
Sokongan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun serta
masih berada di gred lantikan dalam skim perkhidmatan dan
perkhidmatan semasa dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagaimana
yang ditetapkan dalam skim perkhidmatannya secara khas untuk
penyandang (KUP) berkuatkuasa 1 Julai 2009. Keputusan ini turut
dipanjangkan kepada
Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun
Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk
kepada penerimaannya.
3. Sehubungan itu, Jabatan ini memberi peluang kepada
Pegawai Kumpulan Sokongan yang memenuhi syarat di atas, yang telah
memohon kelulusan bersara pilihan berkuatkuasa 18 Mei 2009 dan ke
atas, dibenarkan untuk menarik balik permohonan tersebut dengan
persetujuan Ketua Jabatan. Mereka hendaklah dan merakamkan NIAT
secara bertulis kepada Jabatan ini sebelum tarikh kuatkuasa
persaraan pilihan tersebut.
4. Sila ambil perhatian bahawa peluang yang diberikan
melalui surat ini bukanlah untuk menunda tarikh permohonan persaraan
pilihan tetapi untuk menarik balik persaraan pilihan. Oleh yang
demikian, sekiranya pegawai hendak memohon semula persaraan pilihan,
pegawai mestilah mengemukakan permohonan baru kepada Jabatan ini.
Pihak tuan dijemput untuk menghubungi semula Jabatan ini sekiranya
wujud sebarang kemusykilan berhubung perkara di atas.
Sekian, terima kasih.
“BERKHIDMAT
UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
(DATO’ YEOW CHIN KIONG)
Pengarah
Bahagian Pasca Perkhidmatan
b.p
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
MALAYSIA |